Sunday, 1 May 2016

BMM 3163
ELEMEN DAN BAHAN SASTERA DALAM SUKATAN PELAJARAN BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH DAN DOKUMEN KANDUNGAN STANDARD PEMBELAJARAN

Menurut Kamus Komprehensif Bahasa Melayu, sastera merupakan bahasa yang dicirikan oleh keindahan kata-kata, sama ada melalui lisan atau tulisan. Manakala kesusasteraan pula ialah hasil seni yang diwujudkan dalam bentuk prosa bebas dan puisi. Guru-guru boleh menggunakan elemen atau unsur sastera dalam pengajaran. Selain itu, guru-guru juga boleh menggunakan bahan-bahan sastera tempatan bagi memperkenalkannya kepada pelajar-pelajar di sekolah.
Hashim Awang mengelaskan unsur-unsur dalam kesusasteraan kepada empat , iaitu intelek, emosi, imaginasi dan teknik. Intelek menimbulkan satu-satu fikiran tertentu yang tinggi dan menarik dalam sesebuah karya sastera. Manakala emosi pula ialah membezakan di antara karya sastera dengan karya bukan sastera. Seterusnya, Imaginasi yang melihatkan ketajaman daya penglihatan dan pengamatan pengarang terhadap satu-satu benda dan peristiwa. Yang terakhir ialah, teknik yang merangkumi cara pengarang menyusun peristiwa di dalam cerita , memilih kata-kata, mengatur rangkap-rangkap dalam sajaknya, meletakkan adegan-adegan dalam lakonannya dan lain-lain.
Seterusnya, dalam kesusasteraan melayu, kategori sastera dilakukan berdasarkan zaman atau masa sesebuah hasil sastera itu dikesan atau wujud. Sastera mempunyai dua kategori yakni sastera tradisional dan sastera moden. Komponen sastera meliputi pendedahan bahan-bahan sastera seperti pantun, syair, gurindam, nyanyian, seloka, teromba, peribahasa, sastera panji, dan sebagainya. Manakala sastera moden terdiri daripada cerpen, novel, drama dan sajak. Bahan-bahan ini sama ada kategori tradisional atau moden boleh digunakan oleh guru untuk pengajaran dalam kelas.
Pantun
Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati. Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya. Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat baris. Pantun terbahagi kepada dua bahagian sama banyak rangkapnya, iaitu bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun. Bahagian pembayang bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat adalah empat ayat pembayang dan empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.
Buku seperti Lanang Berladu Lanang merupakan kumpulan pantun bangsa Melayu Brunei yang diungkapkan oleh Prof. Madya Dr. Hj Hashim. Terdapat pelbagai jenis pantun yang mengandungi persoalan dan pengajaran terutama untuk mengajarkan kemahiran berfikir analogi melalui pembayang maksud yang mengandungi banyak perlambangan.
Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilaksanakan dengan pantun ini. Antaranya ialah melafazakan pantun, nyanyikan pantun, lakonkan pantun dan sebagainya. Contoh pantun sekolah rendah yang terdapat dalam buku teks tahun lima ialah  “Pantun Keselamatan Amalan Bersama”.
Syair
Seterusnya, bahan kedua ialah syair. Syair merupakan sejenis puisi berlagu. Ia berasal dari Parsi dan telah dibawa masuk ke Nusantara bersama-sama dengan kedatangan Islam. Syair telah diubahsuaikan mengikut kesesuaian Bahasa Melayu Klasik ketika itu. Namun begitu, A. Teeuw berpendapat bahawa syair merupakan puisi Melayu lama yang telah sedia wujud tetapi namanya telah ditukar.
Dewan Bahasa Dan Pustaka telah banyak menerbitkan banyak buku syair, antaranya Adun Nan Alun Sebahtera, Rampaian Laila Syair, Syair Perlembagaan Negeri Brunei, Syair Asli Rajang Hari, Syair Nasihat dan sebagainya. Masih ramai pelajar tidak mengetahui tentang kewujudan syair-syair ini melainkan guru-guru mengenalkannya kepada mereka melalui bahan pengajaran di bilik darjah. Contoh syair sekolah rendah yang terdapat dalam buku teks tahun lima ialah  “Syair Sesuci Hati”. Masih ramai pelajar tidak mengetahui tentang kewujudan syair-syair ini melainkan guru-guru mengenalkannya kepada mereka melalui bahan pengajaran di bilik darjah
Gurindam
Gurindam merupakan sejenis bentuk puisi yang tidak terikat atau tiada tentu bentuknya (sama ada terikat atau tidak). Bentuk yang terikat biasanya terdiri dari pada dua baris serangkap, menyerupai syair dua baris atau nazam. Setiap baris biasanya mengandungi tiga atau empat, enam atau lebih perkataan; dan pola rima a-a; a-b atau serima (monoryme). Tiap serangkap merupakan sebahagian daripada idea yang berturutan dan biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk menyatakan keseluruhan idea. Contoh gurindam yang boleh digunakan untuk pelajar adalah Gurindam Nasihat”. Dalam gurindam nasihat, banyak nilai murni dan pengajaran yang boleh’ dijadikan iktibar oleh pelajar.
Peribahasa
Peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Guru-guru boleh mendapatkan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Peribahasa Sekolah Rendah, bagi memudahkan pelajar mempelajari peribahasa Melayu dan sebagai bahan sokongan pembelajaran Bahasa Melayu. Entri peribahasa yang termuat dalam buku ini merupakan peribahasa yang telah disenaraikan dalam Huraian Sukatan Pelajaran KSSR dan disesuaikan untuk pelajar sekolah rendah
Nyanyian
Nyanyian merujuk kepada aktiviti membunyikan suara dalam bentuk tertentu yang bertujuan menghasilkan nada dan melodi yang disenangi. Ia merupakan salah satu aktiviti manusia yang bertujuan untuk mengembirakan hati. Nyanyian boleh dilakukan dengan bantuan alat muzik atau hanya dengan secara bertepuk tangan dan sebagainya. Nyanyian memerlukan daya kreativiti manusia dan dianggap sebagai salah satu cabang seni. Nyanyian dalam sastera adalah seperti nyanyian lagu rakyat, lagu kanak-kanak dan sebagainya. Melalui nyanyian, aktiviti didik hibur dapat dilaksanakan sesuai dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah pada masa kini.
Cerpen
Seterusnya bahan sastera moden yang boleh digunakan oleh guru ialah cerpen. Cerpen merupakan salah satu bahan kesusasteraan Melayu  Moden. Dewan Bahasa dan Pustaka juga telah banyak menerbitkan cerpen yang juga boleh digunakan dalam pengajaran bahasa. Antara cerpen yang pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah, Apabila Sungai Mengalir, Basikal Idaman, Bumi Warisan, Di Hujung Pertemuan dan sebagainya. Selain daripada senarai-senarai di atas, terdapat juga bahan sastera tempatan lain seperti, cerita rakyat, sastera sejarah atau historiografi, sastera epik, sajak atau puisi, novel dan drama. Sekali lagi dinyatakan di sini, terpulanglah kepada guru untuk menyesuaikannya dengan isi pengajaran yang ingin disampaikan kepada pelajar.
Novel
Selain cerpen, novel juga merupakan bahan sastera moden yang boleh digunakan oleh guru untuk mengajarkan sastera dalam bilik darjah. Novel adalah sebuah karya prosa yang ditulis secara naratif; biasanya dalam bentuk cerita. Penulis novel disebut novelis. Kata novel berasal dari bahasa Italia novella yang bererti "sebuah kisah atau sepotong berita". Novel lebih panjang (setidaknya 40,000 patah perkataan) dan lebih kompleks dari cerpen. Bahan seterusnya ialah drama. Drama adalah karangan yang menggambarkan kehidupan dan watak manusia dalam bertingkah laku yang dipentaskan dalam beberapa babak. Seni drama sering disebut seni teater. Drama ini boleh diajarkan kepada murid untuk mencari bakat dan meningkatkan keyakinan murid berhadapan dengan khalayak ramai.
Hikayat
Antara contoh hikayat ialah, Hikayat Hang Tuah, Bawang Putih Bawang Merah, Si Tanggang dan banyak lagi bahan bacaan lainnya yang dapat dijadikan sebagai bahan pengajaran Bahasa Melayu.
Sajak
Bahan yang terakhir ialah sajak. Sajak adalah puisi baru yang bebas daripada peraturan-peraturan dalam pembentukan rangkap, baris, kata-kata dan irama. Sajak mengungkapkan perasaan dan pemikiran penyair secara imaginatif dan disusun dengan menumpukan semua. Sajak bersifat demikian untuk dapat mengucapkan fikiran penyair dalam cara yang lebih indah, segar dan bebas. Contoh sajak yang boleh guru gunakan untuk pengajaran sastera dalam bilik darjah ialah “Sajak Generasi Negara” yang terdapat dalam buku teks tahun empat.
Objektif aspek seni bahasa diwujudkan adalah untuk memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan:
i.      Menyebut dan memahami puisi melalui nyanyian dengan gerak laku secara didik hibur.
ii.    Mengujarkan ayat menggunakan bahasa yang indah dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul serta menggunakan bahasa badan secara kreatif melalui penceritaan secara didik hibur.
iii.   Mengujarkan dialog dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul tentang sesuatu perkara menggunakan bahasa badan secara kreatif melalui lakonan secara didik hibur.
iv.   Melafazkan pantun dengan menggunakan bahasa yang indah serta menyampaikan pantun dengan intonasi yang betul di samping memahami maksud pantun.

Terdapat banyak elemen dan bahan sastera yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Ianya terdapat dalam tiga bahagian iaitu
i.      Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran Kemahiran Membaca;
ii.    Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran Kemahiran Menulis; dan
iii.   Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran Aspek Seni Bahasa.
Pertamanya, bagi Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran Kemahiran Membaca, membaca pelbagai bahan sastera dan bukan sastera yang sesuai bagi memupuk minat membaca. Ini bagi memastikan murid berkeupayaan membaca dan memahami pelbagai bahan sastera yang sesuai untuk meningkatkan daya berfikir secara kreatif, serta membaca dan memahami pelbagai bahan bukan sastera untuk mengenal pasti nilai murni.
            Kemudian, dalam Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran Kemahiran Menulis, standard kandungan yang diperuntukkan ialah menghasilkan penulisan kreatif dalam pelbagai genre dengan betul. Standard kandungan ini dihasilkan bagi memastikan murid mampu untuk menghasilkan rangka pendahuluan, isi dan penutup dalam penulisan kreatif dengan betul. Selain itu, murid juga perlu mampu menghasilkan penulisan kreatif berbentuk imaginatif dan deskriptif dengan betul.
Standard kandungan sastera terakhir yang terdapat dalam Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran Aspek Seni Bahasa ialah melafazkan dan memahami puisi dengan intonasi yang betul menggunakan bahasa yang indah secara didik hibur. Murid dikehendaki mendeklamasikan sajak dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas secara didik hibur serta memahami maksud sajak tersebut. Murid juga dikehendaki membina dan memahami sajak secara terkawal dan mendeklamasikannya dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas secara didik hibur.
Oleh itu, elemen dan bahan sastera ini perlu disatukan untuk pengajaran sastera dalam bilik darjah. Seorang guru perlu mahir dan tahu mengenai kepentingan elemen dan bahan sastera dalam pengajaran Bahasa Malaysia di sekolah rendah.




B.   ANALISIS TEKS PUISI ATAU PROSA


Prosa yang dipilih ialah “Lima Sahabat Rimba”. Dalam pengajaran kesusasteraan, pendekatan diolah dari teori-teori kritikan sastera yang melihat kesusasteraan tersebut daripada pelbagai perspektif. Dalam petikan dialog “Lima Sahabat Rimba” oleh buku teks tahun 5, saya akan menggunakan kaedah Global dan Teknik Drama dalam pengajaran dan pembelajaran.
Kaedah global merupakan kaedah mudah seperti simulasi khasnya berdrama. Kaedah ini mestilah bersesuaian dengan tahap keupayaan murid dan situasi murid kerana meliputi kepandaian dan kesesuaian tatacara kehidupan (permainan) kanak-kanak. Lazimnya kaedah ini dilakukan secara bebas.
Teknik Drama Sering digunakan dalam kaedah komunikatif dan kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah terus, elektif dan audiolingual. Tujuan utama adalah untuk melatih murid menggunakan unsur bahasa, unsur paralinguistik (jeda, nada dan intonasi) dan bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala) dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan. Penggunaannya dapat mendorong dan merangsang murid untuk menghubungkan perasaannya dengan matapelajaran yang dipelajarinya.Murid bebas meluahkan sesuatu, membuat penemuan, memberi dan berkongsi sesuatu.Drama berperanan sebagai ragam pembelajaran iaitu sebagai salah satu alat bantu pengajaran dan pembelajaran.Dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada murid, disamping dapat menyuburkan sahsiah murid.
Dalam melaksanakan prosedur pengajaran dan pembelajaran ini, guru perlu membuat perancangan dengan teliti agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksana dengan lancar.
Standard Kandungan :        

2.6  Membaca pelbagai bahan sastera dan bukan sastera yang sesuai bagi memupuk minat membaca.

2.6.1   Membaca dan memahami pelbagai bahan sastera yang sesuai untuk meningkatkan daya berfikir secara kreatif.

4.3       Mengujarkan bahasa yang indah dan menggunakan bahasa badan dengan kreatif melalui lakonan secara didik hibur.

4.3.1   Mengujarkan dialog dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas tentang sesuatu perkara serta menggunakan bahasa badan yang kreatif melalui lakonan secara didik hibur.

Langkah-langkah Pelaksanaan Lima Sahabat Rimba”.
Langkah 1
Aktiviti drama Lima Sahabat Rimba sesuai dijalankan dalam kalangan murid Tahun 5 kerana watak utama dalam cerita ini adalah haiwan. Sebelum menjalankan aktiviti teater bercerita ini, guru perlu menyediakan teks cerita (Lampiran 1)
Dalam melaksanakan kaedah ini murid-murid perlu membaca dan menghayati dialog tersebut. Murid-murid juga perlu mencari nilai dan pengajaran dalam petikan dialogitu. Kemudian, murid-murid diminta berlakon dengan mengguna skrip diaolg yang diberi dengan menggunakan Teknik Drama. Guru boleh menyediakan topeng mengikut watak dalam cerita supaya dapat menarik minat murid melibatkan diri secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran..
Pada langkah pertama, guru perlu membuat set induksi yang menarik dan sesuai dengan apa yang hendak diajar. Kemudian, guru perlu menentukan beberapa objektif yang sesuai  untuk dicapai pada hari itu. Set induksi hendaklah menarik untuk merangsang pemikiran murid untuk belajar.
Seterusnya, untuk melaksanakan teknik drama, guru perlu menyuruh murid-murid membaca karya yang hendak diajar terlebih dahulu iaitu guru memberikan masa murid membaca skrip dan berlatih selama 10 minit dalam kumpulan. Tujuannya supaya murid-murid memahami dan menghayati isi kandungan skrip drama tersebut dan mengenali watak-watak yang terdapat dalam drama tersebut. Contohnya watak-watak dalam skrip drama.
            Setelah semua murid membaca, memahami dan menghayati drama tersebut, guru perlu memilih seorang pelakon untuk melakonkan watak yang terdapat dalam drama tersebut. Pelakon tersebut mesti memahami  dan menghayati watak-watak yang dipilih. Penghayatan watak dapat menjadikan drama itu menarik dan seronok murid laksanakan.
Topeng yang sesuai digunakan ialah topeng mata yang menggambarkan watak haiwan tersebut. Tujuan topeng mata dipilih ialah bagi memudahkan suara watak dapat didengari oleh penonton (Lampiran 2). Di samping menggunakan topeng mata, setiap watak diberikan kad nama setiap watak yang digantung pada leher bagi memudahkan penonton mengenali watak sepanjang drama dijalankan.
Langkah 2
            Sebelum melakonkan watak tersebut, guru perlu membantu murid-murid menghafal skrip dan gaya watak dalam skrip drama. Tujuannya agar pelakon tersebut dapat meluahkan rasa hati supaya dapat menjelaskan peranan dan tindakan watak dalam sesuatu karya. Contohnya, dalam Drama “Lima Sahabat Rimba”, guru boleh memilih beberapa watak untuk dilakonkan. Contohnya watak Sang Kancil, Sang Buaya dan Sang Gajah :
            “(Nada Sedih) Wahai, rakanku sekalian! Nampaknya kita terpaksa pergi ke seberang untuk mencari makanan. Makanan yang kita simpan pun hampir habis”. (Sang Kancil)
            “Baiklah. Marilah naik ke atas belakang aku. Jangan lupa jaket keselamatan kamu, ya!”. (Sang Buaya)
            Sang Buaya, bolehkah aku ikut sekali? (Sang Gajah merayu dengan muka sedih)”. (Sang Gajah)
Petikan dialog ini boleh digunakan dalam lakonan semula oleh pelakon yang dipilih. Pelakon berkenaan perlu menghayati kata-kata ini agar murid-murid lain dapat menilai akan peranan watak tesebut. Begitu juga dengan watak-watak lain.
Langkah 3
Selepas teknik drama ini dilaksanakan, guru boleh membuat beberapa aktiviti lain yang dapat menjurus kepada pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran pada hari itu.
Murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulanakan melantik seorang ketua kumpulan. Ketua kumpulan perlu mencabut undian bagi menentukan tugasan kumpulan mereka. Setiap kumpulan akan mendapat satu watak sahaja. Murid perlu mencari sebanyak mungkin perwatakan yang dimiliki oleh watak. Murid perlu menyenaraikan watak dan perwatakan seperti yang dikehendaki dalam kertas undian. Jawapan murid ditulis dalam bentuk peta minda di atas kertas sebak. Wakil kumpulan perlu membentangkan hasil kerja mereka.
Kemudian, guru perlu meminta setiap ketua kumpulan membentangkan hasil perbincangan mereka. Setelah pembentangan, guru perlu memperbetulkan kesilapan murid-murid. Guru dan murid boleh bersama-sama membincangkan jawapan yang sebenarnya.
Selain daripada itu, guru boleh mengadakan sesi soal jawab dalam kalangan  murid. Tujuannya untuk menilai kefahaman murid-murid terhadap isi kandungan skrip dialog tersebut.
Langkah 3
Guru mengedar lembaran kerja kepada murid. Murid diminta menjawab soalan berkaitan nilai dan pengajaran yang terdapat dalam drama dan berbincang jawapan bersama murid. Murid akan menyemak jawapan yang diberikan oleh guru. Seterusnya, guru boleh meminta murid-murid menyenaraikan nilai dan pengajaran yang tardapat dalam prosa “Lima Sahabat Rimba” itu. Nilai dan pengajaran ini boleh meningkatkan sahsiah murid menjadi lebih baik.
Kemudian, untuk menilai penguasaan murid-murid terhadap nada dan intonasi bahasa, guru boleh meminta beberapa orang murid membaca dialog yang terdapat dalam skrip tersebut. Jika terdapat kesalahan, guru perlu memperbetulkannya dengan cara menunjukkan contoh bacaan yang betul. Dengan pembetulan yang guru laksanakan, murid tidak akan mengulang kesilapan yang sama pada masa akan datang.
Akhir sekali, guru perlu latihan dan membuat kesimpulan serta rumusan hasil pengajaran dan pembelajaran pada hari itu.

KESIMPULAN

Aktiviti drama merupakan salah satu aktiviti seni berbahasa dan didik hibur yang boleh menarik minat murid di dalam bilik darjah. Murid-murid berpeluang untuk menguasai kemahiran berbahasa melalui aktiviti belajar sambil bermain. Guru perlu memilih bahan yang sesuai dalam melaksanakan teknik yang betul supaya hasil pembelajaran Bahasa Melayu dapat dicapai dengan baik. Selain untuk meningkatkan penguasaan kemahiran bahasa, aktiviti ini juga dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri murid, dapat meningkatkan keyakinan murid, mengasah bakat murid dan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan murid.

Sebagai seorang guru, aplikasi pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran perlu dilaksanakan dengan teliti tidak kiralah guru itu mengajarkan mata pelajaran apapun. Guru perlu peka semasa menyediakan Rancangan Pengajaran Harian dan pembelajaran terhadap penggabungjalinan kemahiran-kemahiran agar pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Selain itu, guru perlu mempelbagaikan teknik pengajaran mereka agar memudahkan murid-murid memahami apa yang diajar. Seseorang guru perlu kreatif dan inovatif dalam melaksanakan dan menerapkan aktiviti-aktiviti didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.




















REFLEKSI
NAMA : ROSLAN BIN SURAJI
NO. KP: 681222105139
UNIT : PPG BAHASA MELAYU SEMESTER 8
Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat ILLAHI kerana dengan limpah kurniaNYA dapat saya menyiapkan tugasan ini tepat pada masanya. Setelah bertungkus-lumus mengikut tempoh yang telah diberikan, maka inilah yang dapat saya persembahkan.
Sepanjang melakukan tugasan ini, saya tidak menghadapi masalah yang besar. Hal ini demikian kerana pensyarah pembimbing saya telah memberi penerangan dengan jelas mengenai tugasan Kerja Kursus Projek (KKP) pada kali ini. Kerja kursus ini memerlukan saya mengenal pasti dan menghuraikan enam elemen sastera yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan Dokumen Kandungan Standard Pembelajaran.
            Melalui tugasan ini, pelbagai pengetahuan baharu yang telah saya pelajari. Antaranya ialah mengenai aplikasi puisi dan prosa dalam pengajaran bahasa melayu di sekolah. Kaedah dan teknik yang dipelajari penting untuk diketahui dan dihayati oleh semua guru Bahasa Melayu. Hal ini kerana teknik dan kaedah ini penting untuk melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Sastera yang tumbuh dalam jiwa dan bahasa sesuatu bangsa akan menjadi alat, bukti, dan unsur jati diri bangsa berkenaan. Sastera akan menjadi sebahagian dari wajah dan jiwa bangsa. Karya-karya sastera tradisional seperti pantun, syair, seloka, dan gurindam serta karya-karya prosa tradisional seperti sastera rakyat, mitos, legenda, dan epik menjadi khazanah yang amat dibanggakan. Mengenali teks sastera bermakna memberi ruang kepada pelajar memahami jati diri mereka. Sastera menjadi warisan kerana di dalamnya terkumpul alatan komunikasi, fikiran, konsep, persepsi, emosi, muzik, dan seni bangsa itu (Muhammad Haji Salleh : 2004). Bahan sastera berupaya untuk memberikan pendedahan berkaitan unsur budaya, pemikiran, sikap, dan nilai yang diamalkan dalam masyarakat.
Membina rancangan pengajaran harian (RPH) adalah satu rancangan pengajaran yang wajib disediakan oleh semua guru-guru. Saya  turut mendapat pendedahan tentang cara membuat RPH dan mengajar mata pelajaran kesusasteraan dengan mengaplikasikan pendekatan, kaedah dan teknik yang telah saya pelajari. Selain itu, kolaborasi dan kerjasama antara saya dan rakan-rakan. RPH yang disediakan kelihatan begitu menarik dan menyeronokkan.
Selain itu, membuatkan RPH tersebut menepati kehendak soalan kerja kursus ini. Setiap langkah yang dirancang dalam RPH tersebut menerapkan unsur-unsur dan nilai-nilai yang boleh mencapai tujuan sebenar pengajaran Komsas diwujudkan di sekolah. Kemahiran-kemahiran dan pengetahuan ini seharusnya diketahui dan dikuasai oleh semua guru-guru khususnya yang mengajar Bahasa Melayu kerana bukan sahaja mampu menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran menyeronokkan, bahkan juga mampu menjadikan pengajaran mencapai objektif dengan lebih berkesan.
Selain itu, tugasan ini juga banyak menyerapkan ilmu pengetahuan terhadap diri saya. Hal ini demikian, saya perlu mencari bahan akademik semasa menyiapkan tugasan ini. Hal in penting bagi membentuk generasi yang berilmu. Memetik konsep dan perkara yang terdapat dalam pembentukkan  islam hadhari yang inginkan pencapaian terhadap prinsip Penguasaan ilmu pengetahuan. Jelas disini, ilmu pengetahuan menjadi perkara pokok dan objektif utama dalam penghasilan tugasan ini.
Penggunaan bahan sastera boleh menarik minat dan memberi kesan yang positif terhadap pembelajaran murid. Menurut Lutfi Abas (1987:1), terdapat beberapa kebaikan yang diperoleh melalui penggunaan bahan sastera dalam pendidikan bahasa. Antaranya ialah memberikan keseronokan kepada pelajar semasa pengajaran di dalam kelas. Ini adalah kerana karya sastera itu adalah karya yang indah dan mempunyai huraian-huraian tentang perkara yang aneh dan ajaib yang telah disusun dalam cerita begitu dan sekali gus menyeronokkan pelajar kerana kelucuannya. Karya sastera itu boleh digunakan untuk mengajar Bahasa Melayu mengikut peringkat yang sesuai dengan umur, minat, tahap pemikiran dan peringkat kesukaran pelajaran. Ini terpulanglah kepada kebijaksanaan guru Bahasa Melayu untuk membuat pemilihan, penilaian dan penyesuaian bahan yang digunakan.
Fungsi mendidik yang dibawa dalam karya sastera bertujuan untuk pembinaan sahsiah seseorang. Sastera dapat membina manusia yang berfikir, berpegang pada etika, manusia yang halus pertimbangannya, bersikap adil dan saksama, serta dapat membayangkan perasaan orang lain. Karya sastera memberi ruang kepada pelajar untuk merasa prihatin terhadap keperitan dan kedukaan yang dialami orang lain. Mereka menjadi peka kepada sesama manusia dan persekitarannya. Karya sastera mengajak manusia untuk membina sebuah masyarakat atau manusia yang baik.
Sebagai seorang bakal pendidik, saya juga sedar akan tanggungjawab-tanggungjawab dalam profesion keguruan agar diri saya bersedia untuk menghadapi profesion ini pada masa akan datang. Sebagai seorang bakal guru saya perlu menjadi contoh suri teladan kepada seluruh murid-murid. Oleh yang demikian, tugas ini mempersiapkan diri saya dengan pengetahuan yang baik untuk dijadikan sebagai panduan agar dapat menjadi suri teladan terhadap murid dan masyarakat.
Dalam masa saya menyempurnakan tugasan ini, saya amat bersyukur kerana rakan-rakan banyak membantu saya dalam memberikan idea dan buah fikiran.
Selain daripada itu, masa untuk menyiapkan tugasan ini juga mencukupi. Apabila bahan rujukan banyak, masa untuk menyiapkan tugasan akan menjadi lebihsingkat. Tambahan pula, soalan tugasan diberikan awal, jadi saya dapat memulakantugasan dengan lebih awal. Melalui tugasan ini juga, saya mendapat pengetahuan yang lebih mendalam tentang pengajaran kesusasteraan melayu khususnya dalam bahasa melayu aspek seni bahasa. Secara kesuluruhannya, saya dapat lebih kefahaman, pengetahuan dan dapatmengaplikasi apa yang diajar oleh pensyarah semasa proses menyediakan kerjakursus ini. Saya berharap masyarakat Melayu masa kini memartabatkan bahasaibunda kita kerana bahasa Melayu mempunyai keindahan dan keunikan yangberbeza berbanding bahasa-bahasa lain di dunia ini seperti kata pepatah ‘’ BahasaJiwa Bangsa “.
Akhir sekali, tugasan ini dapat mematangkan pemikiran saya. Perkara ini penting bagi membentuk pelajar yang mempunyai nilai keintelektualan dan taraf pemikiran yang tinggi. Sebagai seorang bakal guru saya akan berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang saya lakukan. semoga tugasan kali ini dapat memberi semangat dan inspirasi kepada diri saya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar yang berdisiplin. Pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi semasa menyiapkan tugasan ini akan saya bukukan dalam kotak minda saya.
Pada kesimpulannya, matlamat untuk menjadikan bahan sastera sebagai agen bagi memupuk minat membaca dan melahirkan kenikmatan membaca serta penghayatan terhadap bahan sastera memang wajar.
Saya bersyukur kerana akhirnya saya dapat menyiapkan tugasan yang diberikan pada masa yang ditetapkan dengan jayanya. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung membantu menyiapkan tugasan ini.




No comments:

Post a Comment